Saturday 4 February 2012

Malaikatul Maut Dan Hakikat Kematian



Berita Alam Ghaib 7: Malaikatul Maut Dan Hakikat Kematian



Sambungan dari entri: Asal Kejadian Malaikat Serta Tugasnya (sila klik jika belum membacanya)

Disebutkan di dalam riwayat, ketika Tuhan menjadikan malaikatul-maut, ia diberi tabir beribu tabir yang besarnya seluas segala langit dan bumi.

Andaikata air lautan atau air sungai yang berada di seluruh dunia, kemudian dituangkan keatas kepala malaikat ini, maka tiada setitis pun yang akan jatuh ke bumi.

Memang malaikat itu berjisim yang teramat halus, ia dapat menjelmakan dirinya yang sebesar-besarnya, dan dapat mengecilkan dirinya yang sekecil-kecilnya pula sehingga tidak ternampak oleh pandangan manusia.

Sesungguhnya malaikatul-maut itu adalah malaikat yang menyebabkan datangnya kematian pada tiap-tiap seseorang. Kedatangan maut itu adalah dari sebab roh yang ada pada manusia, dicabut dan dikeluarkan oleh malaikat itu, yang telah diberi tugas untuk mencabut roh sahaja. Maka apabila roh itu sudah tidak ada lagi di dalam tubuh manusia, lalu tubuh itu menjadi mati, ibarat permainan yang sudah tidak ada beterinya lagi, bererti sudah tidak bekerja lagi. Demikian pula tubuh manusia kerana sudah tidak ada rohnya lagi, ia menjadi mati.

Setiap insan pasti akan bertemu dengan Malaikatul Maut tanpa temu janji. Adakah anda telah bersedia?
Kita semua sudah yakin dan meyakinkan bahawa semua makhluk yang hidup ini pasti akan merasai mati, baik manusia, haiwan, jin, syaitan mahupun malaikat! Seperti firman Allah di dalam surat Al-'Imraan ayat 185 :

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati".

Hanya waktu ajal itu sahajalah yang berbeza-beza. Ada yang mati pada waktu sekarang, yakni meninggal sebelum datangnya hari kiamat iaitu kita (bangsa manusia), jin dan binatang. Yang dikatakan mati setelah datangnya hari kiamat pula adalah malaikat, iblis dan syaitan. Namun secara ringkasnya, semua makhluk pasti akan mati. Oleh itu, setiap kematian tidak mampu ditolak!

Banyak sekali orang yang takut akan mati, akan tetapi ada juga yang ingin cepat-cepat mati sehingga ada yang sanggup membunuh diri! Kedua-dua golongan ini adalah telah keliru. Yang paling penting bagi insan yang masih hidup adalah mencari bekalan akhirat, maka salah satu jalan untuk memperolehi bekalan akhirat adalah "Taqwa".

Sebagaimana Allah berfirman dalam surat Al-Baqarah ayat 197 :

وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ

"Dan mencari bekallah kamu, dan sesungguhnya sebaik-baiknya bekal adalah taqwa"

Dan menurut istilah syarak, yang dinamakan taqwa adalah melaksanakan perintah agama yang fardu mahupun sunat, dan sanggup menjauhkan larangan agama yang berat mahupun ringan.

Solat itu tiang agama, janganlah kita meninggalkan solat walaupun sekali kerana malaikat maut akan datang menemui kita pada bila-bila masa sahaja
Setelah membaca keterangan diatas, maka senanglah kita untuk memahami, apa sebenarnya yang dikatakan mati itu. Sedangkan kalimat "mati" itu memang benar ditakuti oleh kebanyakan manusia, mahu atau tidak mahu. Akan tetapi jika manusia itu mengerti hakikat kematian itu, tentulah tidak sedemikian keadaanya.

Mati sebagaimana yang dikatakan, adalah sebagai perpisahan diantara roh dengan jasad, dan dalam erti masing-masing ialah kembali ke tempat asalnya semula dari mana ia berasal, seperti dari tanah kembali ke tanah dan dari alam rohani kembali ke alam rohani.

Adapun jasad halus ialah rohani, sekalipun dia telah mati, namun hubungannya masih tetap berlangsung dengan rohani manusia yang masih berada di dunia.

Dia masih mengharap kaum kerabatnya yang dicintainya yang masih hidup, supaya menjadi orang yang baik dan suka beramal soleh. Mereka merasa bahawa kedudukannya sekarang di alam barzakh lebih bebas daripada ketika mereka masih berada di dunia dahulu, di mana waktu ketika didunia mereka banyak mengalami rintangan hidup. Oleh kerana itu, manusia tidak perlu meratapi atau menyesali terhadap orang yang telah mati itu secara berlebihan.

Janganlah meratapi insan yang telah meninggal dunia berlebih-lebihan sebaliknya berdoalah terhadapnya sebanyak mungkin
Hal ini sesuai dengan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. melarang umatnya meratapi orang yang telah meninggal secara berlebih-lebihan. Tetapi hendaklah memperbanyakkan doa terhadap si mati itu. Disamping itu, kita harus juga ingat bahawa mati itu adalah sudah menjadi undang-undang Allah yang sudah ditetapkan. Hidup dan mati tidak akan berpisah. Maka dengan adanya mati manusia dapat memahami, bahawa ia harus tunduk kepada Tuhan yang menciptakannya. Kerana hidup dan mati adalah Ciptaan Allah, sesuai dengan Firmannya dalam Surat Al-Mulk ayat 2:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

"Dialah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapakah diantara kamu yang paling bagus amalnya"

Di dalam keterangan ayat diatas itu, Allah menyebutkan mati terlebih dahulu daripada hidup, dengan erti supaya "mati" itu banyak mendapat perhatian oleh manusia. Ini adalah kerana, mati itu adalah merupakan sebagai pintu gerbang bagi kehidupan yang "Abadi". Seperti yang di katakan oleh sayidina 'Ali karramallahu wajhah :
Al maotu baabun wa kullunnaasi daakhiluhu wa anta quutul mauti 
"Mati itu adalah pintu, dan tiap-tiap orang memasuki pintu itu sedang engkau menjadi makanan mati"

Maka bagi orang-orang mukmin tidak perlu takut akan mati. Malah mati itu merupakan pintu gerbang untuk memasuki ke alam barzakh, sementara menunggu tiba waktunya untuk memasuki ke alam akhirat. Maka di alam barzakh ini, ia sudah dapat melihat apakah balasan Tuhan terhadap amal perbuatannya, maka di saat itulah ia merasa gembira dengan hasil perbuatannya yang tidak mengecewakannya.

Sekian terima kasih


Anwar Suran Home – Feb 2012

Share:

0 Komen:

Post a Comment

Perhatian, segala entri dan 80 peratus daripada gambar-gambar yang terkandung di dalam blog ini adalah hasil dari rekaan dan idea My Cahaya Post. Gambar-gambar yang terkandung di dalam blog ini mempunyai bandwidth-nya yang tersendiri dan menyebabkan anda tidak boleh sesekali mengambil URL gambar-gambar tersebut. Jika anda ingin berbuat demikian, sila download gambar-gambar yang anda mahu dan upload semula di dalam blog anda. Selepas anda berbuat demikian, sila inform saya melalui ruangan komen, facebook page, email mahupun shoutbox. Sekian, terima kasih.

Bilangan Pelawat

Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket

Entri Terlaris