Friday, 24 February 2012

Adam Dan Hawa Dikeluarkan Dari Syurga (1)


Berita Alam Ghaib 14: Adam Dan Hawa Dikeluarkan Dari Syurga (Bahagian 1)


Riwayat asal mengatakan, pada zaman dahulu kala iaitu beribu-ribu tahun sebelum adanya manusia, sudah ada makhluk yang mendiami dunia ini iaitu JIN. Mereka terdiri dari jenis lelaki dan perempuan dan ada yang beragama dan ada juga yang tidak. Mereka diwajibkan juga beribadat kepada Allah, sepertimana Firman Allah di dalam surah Az-Zariyat ayat 56:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

"Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi/beribadat kepada-Ku."

Maka untuk lebih jelas, cuba para pembaca baca surah Al-Jin di dalam Al-Qur'an iaitu surah yang ke 72, juzuk yang ke 29. Dalam surah itu ada menceritakan secara jelas mengenai Jin dan keadaannya.

Diceritakan juga di dalam riwayat, diantara keturunan jin yang bernama "Azzazil", dialah yang paling taat kepada Allah. Jin-jin itu umurnya sangat panjang mampu mencapai puluhan ribu tahun.

Demikian keadaan Azzazil di bumi iaitu dia beribadat kepada Allah selama 1000 tahun. Kemudian setelah itu, diatas permohonannya kepada Allah, maka Azzazil dipindahkan pula ke atas langit. Maka dilangit pertama ini ia beribadat kepada Allah sehingga 1000 tahun lamanya. Kemudian ia dipindahkan pula lagi ke langit yang kedua, dilangit kedua ini ia beribadat sehingga 1000 tahun juga. Dan seterusnya sampai kelangit yang ketujuh. Jadi jumlah masanya Azzazil beribadat bermula dari bumi sehingga ke langit yang ketujuh adalah 8000 tahun. Tidak sedikit waktu, bukan?

Tiada manusia yang mampu mengalahkan ibadat yang dilakukan oleh Azzazil (Iblis)

Maka dengan kurnia Allah swt, Iblis telah dinaiki pangkatnya mendapat gelaran kehormatan "Al-Muqorrobuun", itulah darjat yang paling tinggi di sisi Allah samada buat golongan manusia mahupun golongan Jin malah golongan malaikat sekali. Setelah Azzazil mendapat pangkat "Al-Muqorrobuun" di sisi Allah, lalu ia diangkat pula menjadi Imam ibadat buat para malaikat yang berada di seluruh langit. Demikianlah kedudukan atau darjat Azzazil disisi Allah.

Untuk dijadikan cerita, ketika Allah menyuruh semua para malaikat untuk bersujud kepada Adam, maka Azzazil menolak, ia tidak mahu sujud kepada Adam itu dengan alasan katanya dia lebih baik atau lebih bagus daripada Adam.

Hakikatnya apa yang dikemukakan cuma alasannya sahaja, yang sesungguhnya ia merasa iri hati. Mengapa Adam makhluk yang baru dicipta  itu yang akan dijadikan Khalifah secara tiba-tiba? Apakah sumbangannya sebelum ini? Mengapa dia yang sudah begitu lama umurnya, dan sudah lama ibadatnya, serta lebih tinggi martabatnya tidak dijadikan khalifah? mengapa? mengapa?!

Kerana sifat bongkak dan iri hatinya itu, maka Allah swt terus mengusirnya keluar dari syurga lalu Allah namakan dia Iblis dan menukar tubuh badannya menjadi sangat hodoh, hina dan keji. Setelah itu, Iblis mengeluarkan ancamannya iaitu mahu menyesatkan Adam sehinggalah ke anak cucunya, lalu ia dinamakan syaitan (nama sifat jahat). Demikianlah riwayat Iblis yang asalnya keturunan Jin dan kemudian menjadi Syaitan. Maka dapatlah kita simpulkan bahawa Iblis itu raja terhadap segala Syaitan (kejahatan).

Kejahatan manusia tidak akan dapat menandingi kejahatan Iblis

Tersebut di dalam Al-Qur'an bahawa setelah Adam dan Hawa menjadi suami isteri, kedua-duanya bebas bertempat di dalam syurga. Walaupun keduanya boleh tinggal dan makan minum dengan sesuka hati, namun ada sesuatu yang dilarang bagi keduanya iaitu memakan buah-buahan kekal iaitu buah Khuldi.

Sebenarnya buah khuldi itu hanyalah kiasan sahaja, sesungguhnya semua buah tidak ada yang berada tetap ditangkainya, pasti ia akan gugur. Kecuali buah yang ada pada badan manusia sahaja seperti buah halkum, buah dada, buah zakar dan sebaginya. Itulah dinamakan buah khuldi. Begitulah pendapat 'Ulama didalam tafsir Al-Fairuz Zabadi.

Jadi, apa yang dilarang oleh Allah di dalam syurga itu bukanlah memakan buah dari pohon-pohon yang biasa. Tetapi dilarang memakan buah yang "Kekal" itu (adakah bermakna tidak boleh bersetubuh?)

Cubalah perhatikan Firman Allah di dalam surah Al-A'raf ayat ke 22:

فَلَمَّا ذَاقَا الشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا

"Tatkala keduanya telah merasakan pohon itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya".

Maka di dalam ayat ini jelas sekali Tuhan mengatakan "Dzaaqosy syajarota", ertinya merasakan batang pohon, dan bukan dikatakan "Dzaaqots tsamarota". Dalam pengertian buah itu bukan dimakan, tetapi cuma dirasakan oleh tubuh. (Maaf, mereka dibawah umur dilarang mendalami semua ayat-ayat yang tersirat ini).

Jadi kesimpulannya adalah, "Adam dilarang bersetubuh dengan Hawa". Kerana di syurga itu bukanlah tempat untuk mereka melahirkan anak kerana tempat untuk melahirkan adalah di dunia sahaja.

Tempat untuk melahirkan zuriat hanyalah di dunia sahaja.

Sudah jelas Allah swt menjadikan manusia lelaki dan perempuan adalah untuk bersetubuh dan melahirkan keturunannya (itu adalah fitrah). Tetapi, apa yang menjadi persoalannya adalah, mengapa pujukan syaitan itu yang diturutinya oleh Adam dan Hawa? Padahal sebelumnya Allah telah berpesan dengan jelas sekali:

وَلَا تَقْرَبَا هَٰذِهِ الشَّجَرَةَ

"Janganlah kamu berdua mendekati pohon ini,"

Tetapi pujukan atau ajakan syaitan itulah yang mereka turuti, malah larangan Allah pula diabaikannya. Hanya disini sahaja terletak kesalahannya.

Memang Adam dan Hawa, para malaikat serta iblis sudah tahu bahawa pada suatu saat nanti Adam dan Hawa harus turun kebumi, kerana mereka akan menjadi khalifah dimuka bumi. Bilakah harinya? Hanya Allah sahaja yang mengetahui.

Oleh kerana itu, ketika Iblis membangkang perintah Allah lantaran tidak mahu sujud kepada Adam lalu dia dipecat dari jawatannya sebagai Imam "Al-Muqorrobuun", dan diusir dari syurga.

Kemudian secara diam-diam Iblis mencuri masuk kedalam syurga dan cuba memperdayai Adam dan Hawa agar keduanya menjadi derhaka kepada Allah. Kemudian ternyata Adam dan Hawa termakan hasutan syaitan itu, maka mereka pun mendapat hukuman Allah swt, lalu mereka meninggalkan syurga dan diturunkan ke bumi.

Keadaan di bumi tidak sama sekali sama dengan keadaan di syurga. Dunia penuh dengan pancaroba

Menurut riwayat, Adam diturunkan ke bumi pada tanggal 10 muharram. Maka, di waktu malam yang gelap gelita, Adam dan Hawa harus turun ke bumi termasuk iblis. Dengan bercucuran air mata, mahu atau tidak mahu Adam dan Hawa harus menerima nasibnya.

Pada malam itulah Jibril membawa Adam dan Hawa turun ke bumi. Adam diturunkan di bukit Ruhun di Surandib atau pulau Sailan (mungkin juga di gunung Sri Lanka), sedangkan Siti Hawa pula diturunkan di Jeddah. Begitulah akibatnya kedua insan yang telah melanggar larangan Allah swt harus berpisah dari segala kesenangannya di Syurga, dan kini mereka menjalani kehidupan yang baru yang serba sukar. Meredah onak dan duri, cuaca yang tidak menentu, makanan yang sukar dicari malah amat sekali berbeza dengan kehidupannya didalam syurga!

Tersebut didalam riwayat, setelah Adam diturunkan ke bumi, hampir seratus tahun lamanya Adam dan Hawa tidak bertemu. Mereka bukanlah seperti kita mempunyai telefon bimbit, kapal terbang, kapal laut mahupun apa-apa alat untuk mencari satu sama lain. Bagaimanakah episod kehidupan mereka berdua? Bagaimanakah cara mereka bertemu?



Anwar Suran Post - Feb 2012

Share:

6 comments:

  1. ternanti-nanti episod kedua..

    ReplyDelete
  2. Anwar Suran, cepatlah update sambungan ke-2... tak best la bace cerita bersambung ni... update cepat tau!

    ReplyDelete
  3. Cepat sikit tulis bahagian kedua. Puas dah tunggu ni..

    -Mail Botak-

    ReplyDelete
  4. Kejap-kejap... tengah type sikit jer lagi ni... banyak sangat ayat Al-Quran yang saya tengah nak 'cut & paste' untuk bahagian 2. Harap bersabar =)

    ReplyDelete
  5. bole bg penerangan sikit

    ReplyDelete
  6. mohon berkongsi entry ini di blog saya. terima kasih

    ReplyDelete

Perhatian, segala entri dan 80 peratus daripada gambar-gambar yang terkandung di dalam blog ini adalah hasil dari rekaan dan idea My Cahaya Post. Gambar-gambar yang terkandung di dalam blog ini mempunyai bandwidth-nya yang tersendiri dan menyebabkan anda tidak boleh sesekali mengambil URL gambar-gambar tersebut. Jika anda ingin berbuat demikian, sila download gambar-gambar yang anda mahu dan upload semula di dalam blog anda. Selepas anda berbuat demikian, sila inform saya melalui ruangan komen, facebook page, email mahupun shoutbox. Sekian, terima kasih.

Bilangan Pelawat

Entri Terlaris

Hantarkan Email Anda